Showing posts with label Isu Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Isu Pendidikan. Show all posts

October 28, 2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

Oleh WAHID HASHIM wahid.hashim@utusan.com.my

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

October 16, 2010

Sistem pendidikan dirombak

DI Petik dari UTUSANONLINE

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan penekanan diberi kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.

Bagi tujuan itu Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, tambahan sejumlah RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang.

“Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka (anak-anak) akan disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing,” katanya semasa membentang Bajet 2011, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menyediakan dana pembangunan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara.

“Bagi mengiktiraf Pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta.

“Manakala, bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik, RM576 juta diperuntukan dalam bentuk biasiswa untuk mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Mengenai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pula, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru asing dari United Kingdom dan Australia.

Sementara itu, Najib menambah, pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata).

“Peruntukan ini antaranya bagi pembinaan Fasa Kedua Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN), membiayai operasi 52 PAPN serta meneruskan program Permata Pintar,” katanya.

April 30, 2010

Aktiviti gotong-royong 15 Mei ganggu sambutan hari guru

Dipetik dari web Kementerian Pelajaran Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat “TSAI JIN, Padawan, Sarawak” dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 24 April 2010 – Aktiviti gotong-royong 15 Mei ganggu sambutan Hari Guru.
Merujuk surat KPM, KP (BPSH-SPKD) 600/03 (20) bertarikh 22 Mac 2010 adalah berkaitan. Kegiatan gotong-royong merupakan aktiviti yang telah disarankan sebagai pengisian perayaan Hari Guru di peringkat daerah dan negeri pada setiap tahun. Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2010 pada 18 Mac 2010 telah memutuskan supaya gotong-royong dilaksanakan secara serentak di semua sekolah rendah dan menengah pada 15 Mei 2010 jam 8.30 pagi. Kegiatan ini dicadangkan,supaya melibatkan masyarakat setempat termasuk ibu bapa selain penglibatan warga sekolah. Penglibatan pihak berkenaan merupakan indikator pengiktirafan mereka terhadap sumbangan guru.
Kegiatan ini juga diharapkan akan menunjukkan semangat, ikatan kasih sayang, keprihatinan dan sokongan padu masyarakat kita kepada kaum guru. Semua murid, ibu bapa dan kepimpinan masyarakat setempat boleh membina ikatan ukhwah dan semangat perpaduan melalui kegiatan berkenaan. Ianya akan mampu menterjemahkan ikatan kekeluargaan, perpaduan dan kemesraan dalam kalangan masyarakat setempat dan ianya benar-benar membantu negara kita melahirkan sebuah masyarakat yang sihat dan selamat.
Aktiviti ini juga merupakan pendekatan untuk memuncakkan kemeriahan sambutan menjelang Hari Guru pada esoknya 16 Mei 2010. KPM sangat yakin para pentadbiran sekolah di seluruh negara memiliki kreativiti dan kebijaksanaan untuk membina dan melaksanakan pengisian aktiviti gotong royong berkenaan selari dengan kemampuan masing-masing. Panduan pelaksanaan program tersebut adalah dalam pengetahuan pentadbir sekolah kerana ianya terdapat dalam pekeliling pengurusan aktiviti dan program murid dan Panduan Sekolah Selamat yang telah diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Dalam hubungan ini pihak KPM tidak bertujuan untuk membebankan malah sentiasa menghargai sumbangan guru sebagai tunjang pembangunan Modal Insan Negara.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

April 4, 2010

Evolusi dan revolusi sekolah di Malaysia

dipetik dari tutor

KEMUNCAK persekolahan. Itulah gambaran kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Ia adalah sebahagian daripada evolusi pendidikan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia – malah segenap pelosok dunia bertamadun. Apakah evolusi itu? Berikut ialah sedikit gambarannya.


Sekolah istana

Di Thailand, ada sekolah yang berstatus diraja - Sekolah Sains Kebangsaan Thailand, Mahidol Wittayanusorn. Di Malaysia, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah yang setanding dengan sekolah di Thailand itu. `Restu’ raja ke atas sekolah di Thailand itu menelusuri semua keturunan rajanya. Sungguh syahdu melihat sekolah dimartabatkan sehingga berada di bawah naungan tangan baginda istana.

Penanda aras diletakkan setinggi-tingginya. Pencapaian sekolah diraja itu dikira daripada berapa ramai alumninya yang berjaya diterima ke universiti terkemuka – Harvard, MIT dan Cambridge. Kalau melawat ke sekolah itu, perhatikan pelajar putera dan puterinya menelaah buku di kaki lima tanpa dipedulikan orang pun.

Kalau di Malaysia, istilahnya ialah showcase school, tetapi di sana, ia dipanggil sekolah duta. Kalau anda berpeluang melawat ke sekolah itu, lihat juga bagaimana pelajar di makmal Fizik menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika di dalam makmal. Setiap pelajar membawa sebuah komputer riba.


Gifted student

Kita menerima hakikat bahawa peluang harus diberi kepada anak-anak yang boleh pergi jauh. Di empat penjuru dunia, ada pula sekolah untuk kanak-kanak pintar anugerah (gifted student). Di Arab Saudi, mereka ialah sheikh segala sheikh. Cara pemikiran mereka berbeza kerana mungkin pembawaan mereka kreatif dan inovatif, bukan ulat buku sangat.

Hakikat pahitnya ialah, pemikiran alternatif dan cepat matang mungkin lebih buruk daripada baiknya.

Kalau dalam filem Hollywood, mereka ini mungkin sekelompok manusia mutan yang tinggal di dalam rumah agam yang penuh misteri!


Sekolah bestari

Lain halnya dengan sekolah bestari. Sekolah bestari ialah program rakyat dan komuniti untuk tujuan menaik taraf proses dan sistemnya. Sebab itulah, proses dan sistemnya dipanggil sebagai alat atau tools. Alat ini merentasi semua sekolah harian biasa, sekolah berasrama penuh, Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK), SBT, sekolah sukan dan sebagainya.

Ada standard operasi bagi kerangka dasar penubuhan sekolah bestari. Dalam konteks yang disediakan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), dokumen standard ini dipanggil Standard Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS). Empat amalan perlu mendasari program pembestarian – pelaksanaan, perkakasan, modal insan serta integrasi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kalau dahulu papan batu dan kapur debu, berevolusi kepada papan hitam, papan hijau dan pen marker, maka di tangan pembestrian sekolah, pendidikan masa depan akan berevolusi kepada komputer riba, interaksi dan integrasi multimedia, teknologi mobile, i-kit dan apa sahaja yang tidak terbayang dalam pemikiran kita – tetapi tetap kita hadapi pada abad ke-21.


Sekolah bakat

Mungkin ada satu tahap lain seperti watak Harry Porter yang dipilih secara hand-picked kerana bakat semulajadinya, serta sahsiah keturunan yang jelas diwarisinya.Mungkin inilah sekolah bakat. Mungkin sekurang-kurangnya bakat dalam sukan atau seni. Jadi, wujudlah sekolah sukan dan sekolah seni. Kewajarannya ialah seni dan sukan merupakan industri yang mendatangkan pendapatan berbilion ringgit di negara maju!


Sekolah antarabangsa, swasta

Sekolah antarabangsa turut mendapat perhatian ramai ibu bapa warga asing. Ada taman perumahan eksklusif yang membangunkan sekolah antarabangsa atau sekolah swasta sebagai daya tarikan kepada orang asing membeli rumah mahal mereka. Teknik itu nampaknya berkesan. Namun, ibu bapa rakyat tempatan tidak boleh `membuat bising’ kerana jelas sekali peruntukan undang-undang melarang anak mereka bersekolah di sekolah antarabangsa.


Sekolah harian

Yang lebih penting dan perlu diberi perhatian dengan secukupnya ialah sekolah harian biasa – cukup sentimental dan evergreen, malah penuh beremosi. Di sinilah watak-watak istimewa dibentuk. Kalau hari ini seorang Raja memerintah negara, seorang Perdana Menteri memimpin negara, maka asasnya ialah tulis baca oleh sebuah sekolah biasa, dan oleh guru biasa. Kerajaan yang kita kenal pada hari ini yang sedar akan pertaruhan politik akar umbi di sekolah kebangsaan ini, sentiasa memberi perhatian yang secukupnya kepada sekolah harian.

Di sinilah takungan bakat bermula. Komitmen dan kreativiti pihak pengurusan sekolah memberi kesan yang cukup besar kepada pembangunan sekolah harian biasa ini. Kelas rancangan khas mungkin setaraf dengan anak-anak lain di sekolah berasrama penuh (SBP).


SKK DAN SBT

Bagi kita, peluang untuk berjaya dalam kehidupan adalah saksama bagi apa juga label dan cap sekolah. Kita bersyukur kerana kerajaan sentiasa sedar akan perlunya revolusi dalam penciptaan sekolah supaya pendidikan boleh berevolusi, matang dan berkembang.

Tapi pada masa yang sama kita perlu sedar bukan semua sekolah ini sesuai untuk anak-anak kita. Berilah peluang kepada anak yang betul-betul layak dan komited, berbakat dan bercita-cita besar, dan mungkin yang gifted untuk belajar di sekolah-sekolah istimewa itu supaya mereka terus berpencak silat dalam gelanggang akademik yang lebih tinggi – sama ada di dalam atau luar negara. Anggaplah itu sebagai tanggungjawab berat tambahan yang mereka kena pikul ketika masih di bangku sekolah.

Sebagai pemimpin sesuatu kawasan yang sudah matang, kita juga perlu berfikiran terbuka akan keperluan sekolah istimewa seperti SBT atau SKK untuk berada di kawasan kita. Perlukah ia dibina di kawasan kita? Kenapa perlunya di bawa ke komuniti kita? Untuk tujuan politikkah?

Sekolah dalam kategori istimewa seperti SBT tidak perlu banyak. Mungkin sebuah atau dua sudah memadai buat permulaan ini. Tidak perlu sehingga berpuluh-puluh dan tidak perlu pun ada di seluruh negara.


SBP, MRSM

Sekolah Berasrama Penuh – termasuklah di dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ialah rumus paling berjaya dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Cendekiawan Melayu mahu pelajar di pedalaman dan kampung dikumpulkan dalam persekitaran pembelajaran kondusif, makanan yang cukup khasiatnya dan guru yang terbaik.


Sekolah agama (SABK), SJKC , SJKT sekolah mubaligh

Sekolah ini memerlukan pendekatan yang istimewa kerana ia menyentuh faktor sejarah, budaya dan agama masyarakat majmuk secara langsung. Secara umumnya, laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sehingga 2010 menunjukan dengan jelas betapa besarnya peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada sekolah ini secara yang cukup saksama dan demokratik.

April 2, 2010

Elements of fun in new English curriculum

from The Star Online

WE refer to the letter “Emphasis must be on how language is spoken” (The Star, March 29). The Education Ministry would like to thank the writer for his interest in matters pertaining to education.

The new English curriculum to be implemented for Year One pupils will take effect in 2011. This curriculum places equal importance on the skills of listening and speaking, reading, writing and language arts.

In Years One and Two, emphasis is on building a strong foundation of competencies in basic literacy through phonics to enable pupils to grasp a sound knowledge of letter sounds. This is essential in helping pupils to recognise words and then engage in early reading.

Grammar is only introduced from Year Three onwards and is to be taught in context. The deferment is thought prudent as grammar awareness is best triggered in pupils’ first language/mother tongue instruction.

In Years One and Two, pupils get a lot of exposure in speaking and listening through Language Arts which is a new component designed to create appreciation and enjoyment amongst pupils.

They sing songs, recite rhymes, role-play and stage plays and engage in other fun-filled learning activities. Here, they experience interaction with their peers in English through dialogue and conversation.

The new curriculum is underpinned by the principles of fun learning and back to basics which will build a solid foundation for future language development.

CORPORATE

COMMUNICATION UNIT,

Ministry of Education.

March 20, 2010

Mencemburui gaji guru

Dipetik dari web tutor

SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 termasuk beberapa elaun – maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen, katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan ‘mangkuk’ Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

Seperti kata Abraham Lincoln: “Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara.’’

Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

Jadi, apabila Tan Sri Mahyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan ‘kepala-kepala’ persatuan dan kesatuan ini suapaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.

Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?

Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG-48, berbanding anaknya pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.

Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpakslah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.

Tetapi perlulah juga diingat kan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai’ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai’ah, tetapi belum bagi guru. Di bawah konsep bai’ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin ‘dipencenkan’ lebih awal.

Sekarang guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.

Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.

August 6, 2009

Guru Tuntut Imbuhan

Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut. Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain. Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama," katanya.

Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar. Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.

"Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar," katanya.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.

"Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’"katanya.

Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.

Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut. Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.

Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius. Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua.



Sumber : Portal Pendidikan Utusan

August 2, 2009

Pendidik perlu sokong pemansuhan PPSMI

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru warga pendidik di seluruh negara menyokong sepenuh hati pemansuhan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) demi perubahan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru perlu memahami dan menghayati dasar-dasar baru kerajaan bagi menjelaskan kepada ibu bapa dan masyarakat tentang keputusan pemansuhan itu.

''Pastinya tidak elok kalau di kalangan warga pendidik berdebat ada yang pro dan ada yang kontra. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, ia memang ada rasionalnya.

''Justeru saya berharap sokongan 100 peratus dari kalangan warga pendidik atas dasar dan perubahan yang kita buat, biarlah sepenuh hati kalau tidak nanti ada yang berbelah-bahagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengakui pencapaian PPSMI pelajar di bandar agak baik tetapi bilangannya amat rendah.

''Berdasarkan realiti ini kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeorpady (kesukaran berganda).

''Jika berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi defisit pengetahuan di kalangan pelajar di mana pelajar yang gagal menguasai konsep asas sains dan matematik menghadapi masalah untuk menguasai ilmu sains dan matematik di peringkat lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun terdapat suara-suara yang membantah pemansuhan PPSMI terutama di akhbar dan blog, namun suara majoriti senyap harus diambil kira.

''Mungkin 80,000 yang tidak setuju (dengan pemansuhan ini) dalam blog, tapi dekat luar ada dua tiga juta lagi yang menyokong," katanya.

Beliau menambah, lima buah Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus bahasa Inggeris akan diwujudkan untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris supaya guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru terbaik dari luar negara dapat ditempatkan di kawasan luar bandar.

Ini termasuk menyediakan insentif khusus kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia berkhidmat di luar bandar.

Katanya, enam jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBI).

''Jawatankuasa ini bertanggungjawab memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, logistik, personel dan penerangan demi kebaikan kualiti pendidikan kebangsaan," katanya.

Lebih banyak guru berkualiti di pedalaman

Sudah tiba masanya kerajaan menggandakan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi supaya mereka dapat ditempatkan di pedalaman dan luar bandar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa serta gagasan 1Malaysia demi merealisasikan apa yang digariskan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran.

"Justeru, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan kerana sudah tiba masanya pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan tanpa terlalu berlandaskan kekananan.

Tegasnya, ia juga harus dibuat melalui proses yang lebih telus dengan memilih yang terbaik, berbakat serta mempunyai kualiti kepimpinan dinamik.

"Pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang dan komited di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian.

"Ini nanti diyakini mampu memberikan didikan terbaik kepada murid," katanya.

Muhyiddin turut mencadangkan agar usaha diteruskan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, produktif, kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melahirkan pelajar yang holistik serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

"Pada masa sama, kementerian perlu meneruskan pembangunan infrastruktur memandangkan masih terdapat sekolah yang daif dan usang, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.

"Akhirnya nanti kita perlu memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan warga pendidik dengan mewujudkan Kem 1Malaysia pada setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, walaupun penyertaan dalam pendidikan rendah adalah tinggi, namun masih terdapat lebih 125,000 kanak-kanak di negara ini yang mencapai umur persekolahan peringkat rendah masih tidak mengikuti alam persekolahan.

"Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman," ujarnya.

August 1, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.