Dipetik dari web tutor
SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 termasuk beberapa elaun – maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.
Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen, katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan ‘mangkuk’ Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.
Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.
Seperti kata Abraham Lincoln: “Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara.’’
Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.
Jadi, apabila Tan Sri Mahyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan ‘kepala-kepala’ persatuan dan kesatuan ini suapaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!
Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).
Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.
Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.
Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?
Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.
Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG-48, berbanding anaknya pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.
Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpakslah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.
Tetapi perlulah juga diingat kan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.
Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai’ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai’ah, tetapi belum bagi guru. Di bawah konsep bai’ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin ‘dipencenkan’ lebih awal.
Sekarang guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.
Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.
0 ulasan:
Post a Comment