April 6, 2010

Rakyat Sabah disaran jaga kebersihan elak wabak denggi

Dipetik dari web New Sabah Times

KOTA KINABALU
: Rakyat Sabah disarankan menjaga kebersihan terutamanya di kawasan persekitaran rumah bagi mengelakkan terdedah kepada wabak denggi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata kementeriannya amat menekankan masyarakat agar sentiasa peka terhadap aspek kebersihan di dalam dan luar rumah.

“Kebanyakan masyarakat kini memandang remeh kepada isu kebersihan persekitaran rumah dengan corak pemikiran yang tidak peka mengenai permasalahan ini,” katanya, selepas melancarkan album artis tempatan Alvin MY, di sini malam kelmarin.

Dala pada itu, beliau bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad ataupun lebih dikenali sebagai Din Beramboi yang meninggal dunia berikutan sindrom denggi mengejut (DSS) pada Jumaat lepas.

“Kehilangan beliau merupakan kehilangan besar dalam industri seni muzik negara ini dan saya berharap ia menjadi pengajaran kepada orang ramai bahawa denggi merupakan wabak yang berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.

“Oleh yang demikian masyarakat harus tidak meremehkan isu denggi ini walaupun pada masa ini belum ada kejadian yang teruk mengenai wabak ini berlaku di sini,” katanya.

Masidi berkata, dengan melakukan perkara mudah iaitu meletakkan garam khas di pasu yang menakung air supaya menggelakkan daripada pembiakan nyamuk, buang sampah di tempat yang betul dan kerap membersihkan semak-semak di rumah agar nyamuk tidak membiak.

“Nyamuk tidak akan wujud di rumah sekiranya kita peka dengan langkah-langkah yang ditetapkan oleh pihak berkaitan mengenai pencegahan ini.

Beliau juga berharap pihak yang bertanggungjawab mengadakan kempen kesedaran yang lebih agresif agar menyedarkan masyarakat mengenai bahaya denggi.

Malah katanya, dengan pendidikan mengenainya di sekolah misalnya ia dapat disemaikan kepada para pelajar dengan langkah-langkah membasmi dan mencegah wabak denggi itu

“Masyarakat sebenarnya berulang kali diingatkan dengan permasalahan seumpama ini namun sukar untuk menembusi corak pemikiran yang sudah menjadi rutin harian mereka,” katanya.

Masidi berkata, melalui pendidikan yang diberikan di sekolah di harap sebagai langkah yang bijak menangani permasalahan ini.

0 ulasan:

Post a Comment